Berita Utama

Perlis, MAIPs dan 2 lagi bantah permohonan Loh cabar pengislaman anak

Loh sepatutnya fail permohonan dalam masa 90 hari selepas anak-anaknya memeluk agama Islam pada 7 Julai 2020

KUALA LUMPUR, 16 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan dua lagi, hari ini membantah saman difailkan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar pengislaman tiga anaknya oleh bekas suami tanpa keizinan wanita itu.

Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh berkata keempat-empat responden itu mengemukakan bantahan atas alasan anak guamnya, Loh telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa ditetapkan.

“Responden membantah atas alasan pemohon (Loh) sepatutnya memfailkan permohonan itu dalam masa 90 hari selepas ketiga-tiga anaknya memeluk agama Islam pada 7 Julai 2020.

“Pihak kami juga telah memasukkan relif untuk mendapatkan lanjutan masa sekiranya terlewat memfailkan permohan itu dan ia juga dibantah oleh responden,” katanya ketika dihubungi, selepas pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

Menurut Srimurugan, tiada kelewatan dalam pemfailkan permohonan itu kerana Loh hanya mengetahui anak-anaknya telah memeluk agama Islam pada 10 Mac lepas dan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan pada 25 Mac.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

Prosiding itu turut disertai peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili MAIPs dan Peguam Kanan Persekutuan Ainul Wardah Shahidan mewakili tiga responden iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis.

Loh, 34, memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas antaranya memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya.

Loh juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan yang membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Pada 21 Februari lepas, anak kembar perempuan Loh berumur 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button