Berita Utama

Mukhriz lepas jawatan MB Kedah

Berkuatkuasa serta merta, hilang kepercayaan ADUN

ALOR SETAR, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa serta merta.

Mukhriz berkata, ia susulan selepas beliau kehilangan kepercayaan oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan (Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam┬ákalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.

“Saya doakan mudah-mudahan Allah SWT terus mengekalkan keamanan dan memakmurkan negeri dan rakyat Kedah dengan penuh keberkatan, keredhaan dan kerahmatan hendaknya,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Wisma Darul Aman┬ádi sini, hari ini.

Mukhriz turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang telah memberikan kerjasama baik dalam merealisasikan dasar dan pendekatan sepanjang tempoh memimpin negeri ini.

Mukhriz yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, susulan perletakan jawatannya sebagai menteri besar semua jawatan exco kerajaan negeri turut tergugur.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, pergolakan kepartian telah menyebabkan dua ADUN PKR meninggalkan parti mereka sebelum ini, sekaligus menyebabkan gabungan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti di DUN Kedah.

Susulan itu juga, Mukhriz berkata, empat lagi ADUN Bersatu juga yang telah menyokong Perikatan Nasional (PN) menyebabkan gabungan PH dan Bersatu hanya memiliki 13 kerusi DUN berbanding PN yang memiliki 23 kerusi.

“Saya redha dengan keadaan ini dan dengan rela hati bersedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Apa jua perkembangan politik yang mungkin atau tidak berlaku di peringkat persekutuan, saya dan rakan-rakan PH bertekad untuk bergerak sebagai pembangkang sehingga DUN Kedah dibubar,” katanya.

Selasa lepas, dua ADUN PKR Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling (Sidam) mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada PN.

Pada hari sama, Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan 19 daripada 36 ADUN Kedah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan menteri besar.

Pada sidang media berasingan hari ini, Setiausaha Kerajaan negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan bahawa Sultan Kedah telah memperkenan untuk melantik Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah ke-14. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button