Berita Utama

‘Sudah tiba masa pintu masuk pendatang diperketat’

Kehadiran PATI perlu ditangani secara agresif sebelum jadi barah

BANGI, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Sudah sampai masanya untuk kerajaan memperketatkan semua pintu masuk pendatang sama ada melalui jalan darat, laut mahupun udara.

Demikian saranan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selepas kawasan sepanjang pantai Ulu Sedili hingga Sungai Johor di Kota Tinggi dikesan sebagai titik panas pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI), di Johor.

Terdahulu, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami berkata, dianggarkan 60 hingga 70 peratus kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai kawasan pendaratan.

Beliau berkata, menerusi Ops Bersepadu Benteng oleh Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta lain-lain agensi penguatkuasaan, semua pihak berkenaan sentiasa memperkukuhkan kawalan dan bertanggungjawab memastikan sempadan tanah air tidak dibolosi bermula dari garis sempadan antarabangsa sehingga ke daratan.

Katanya lagi, tujuan Ops Bersepadu Benteng bukan sahaja untuk menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin tetapi pada masa sama memastikan tiada penularan kluster baharu COVID-19.

“Menerusi operasi ini, kita akan pastikan tiada yang bolos. Yang lebih penting, kita mahu menghalang sempadan dimasuki kerana selain boleh membawa penularan kepada tahap yang lebih serius, dan dalam masa yang sama untuk mengekang penyeludupan barang terlarang,” katanya.

Berpandangan bahawa keselamatan adalah masa depan negara, Dr Zainur Rashid menggesa kerajaan menangani kehadiran PATI sedia ada yang dianggarkan lebih 3.3 juta orang secara sistematik dan lebih agresif sebelum ia menjadi barah tahap akhir yang tidak boleh dirawat lagi.

“Sementara puluhan atau mungkin ratusan ribu pelancong China yang sama ada bersembunyi atau disembunyikan itu juga mesti didahulukan untuk dihantar pulang,” katanya.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button