Berita Utama

Thailand benarkan solat sunat Aidilfitri di zon hijau

Memandangkan situasi pandemik di negara itu bertambah baik

BANGKOK, 24 Ramadan 1441H, Ahad – Umat Islam di Thailand dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dengan mengenakan garis panduan yang ketat untuk membendung COVID-19.

Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phithakkhumphon berkata memandangkan situasi pandemik COVID-19 di negara itu bertambah baik, solat sunat Aidilfitri dibenarkan dijalankan di masjid yang terletak dalam kawasan zon hijau, iaitu yang tiada kes jangkitan.

Bagaimanapun, beliau berkata jawatankuasa masjid perlu menyediakan kawasan terbuka tanpa pendingin udara seperti di perkarangan masjid, perkarangan bangunan atau sekolah atau stadium di kampung-kampung untuk menjalankan solat sunat Hari Raya itu.

Beliau berkata jemaah diwajibkan memakai pelitup muka, mengambil air sembahyang di rumah dan membawa sejadah masing-masing selain mengamalkan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan.

“Solat sunat Aidilfitri berlangsung selama 20 minit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika masjid tidak bersedia untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri, beliau menasihatkan umat Islam supaya menunaikan solat sunat itu bersama ahli keluarga di rumah.

“Bagaimanapun, aktiviti seperti jamuan sempena Aidilfitri di masjid serta aktiviti secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan. Orang ramai perlu mengelakkan daripada berkumpul serta menziarah kubur ahli keluarga,” katanya.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 3,028 kes COVID-19 dan 56 kematian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button