Berita UtamaDunia

Korea Utara lapor kes pertama COVID-19

Jong Un arah semua bandar, daerah laksana sekatan ketat cegah wabak

SEOUL, 11 Syawal 1443H, Khamis – Korea Utara mengesahkan kes COVID-19 pertama pada Khamis, memanggilnya ‘kecemasan negara yang paling teruk’ dan mengarahkan sekatan pergerakan negara.

Media kerajaan melaporkan varian Omicron dikesan di Pyongyang.

Pengakuan awam pertama jangkitan COVID-19 menonjolkan potensi krisis besar di negara yang menolak bantuan antarabangsa dengan vaksinasi dan penutupan sempadan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga Mac, tiada kes COVID-19 dilaporkan bahkan tiada rekod rasmi bagi warga Korea Utara yang divaksin.

“Kes kecemasan yang paling serius berlaku di negara ini: Sekatan telah dibuat pada bahagian pencegahan wabak kecemasan kami yang teguh mempertahankan selama dua tahun dan tiga bulan mulai Februari, 2020,” kata agensi berita rasmi KCNA.

Sampel yang diambil pada 8 Mei daripada penduduk di Pyongyang yang mengalami demam menunjukkan subvarian virus Omicron juga dikenali sebagai BA.2, kata laporan itu tanpa memberi butiran mengenai jumlah kes atau kemungkinan sumber jangkitan.

Laporan itu diterbitkan selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengetuai mesyuarat Parti Pekerja pada hari Khamis bagi membincangkan tindak balas terhadap wabak itu.

Kim mengarahkan semua bandar dan daerah di negara itu untuk ‘melakukan sekatan ketat’ pada wilayah mereka bagi mencegah penyebaran coronavirus dan berkata, bekalan perubatan rizab darurat akan digerakkan, lapor KCNA.

“Tugas pencegahan wabak negara akan dialihkan kepada sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum,” katanya.

Menurut data terkini daripada WHO, 64,207 daripada lebih 24.7 juta penduduk Korea Utara menerima ujian saringan COVID-19 dan kesemuanya didapati negatif setakat 31 Mac.

Korea Utara menolak penghantaran vaksin daripada program perkongsian vaksin COVID-19 global COVAX dan vaksin Sinovac Biotech dari China, menunjukkan kemungkinan tiada orang awam diberi vaksin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button