Berita Utama

Tommy Thomas setuju representasi kaji semula pertuduhan Riza

Gopal Sri Ram, Latheefa Koya turut cadang representasi diterima SPRM

KUALA LUMPUR, 24 Ramadan 1441H, Ahad– Cadangan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan ke atas Riza Shariz Abdul Aziz telah dipersetujui secara berprinsip oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berkata, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Latheefa Koya turut mencadangkan supaya cadangan dalam representasi itu diterima oleh SPRM.

“Saya dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan turut menyatakan berdasarkan cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Setelah ditaklimatkan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan mantan Peguam Negara sebagaimana yang ditaklimatkan kepada saya dan bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat,” katanya.

Terdahulu, Riza yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Khamis, SPRM memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta), berikutan keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza.

SPRM berkata, jumlah wang yang dikembalikan itu adalah persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh dan ia adalah pelepasan bersyarat.

Persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button