Berita Utama

Bersatu masih bersama PH: Tun M

Dakwa Muhyiddin buat keputusan babit parti secara sendirian

BANGI, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih bersama Pakatan Harapan (PH), demikian tegas Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau mendakwa, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar daripada PH bahkan keputusan membabitkan parti itu dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bersendirian.

Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang kemudiannya membentuk kerajaan pada Mac lalu, walaupun sebelum itu memberi tempoh seminggu kepadanya membuat keputusan membabitkan sama ada parti itu keluar dari PH.

“Seperti yang kita semua ketahui dalam rakaman dibuat, Muhyiddin beri saya satu minggu untuk buat keputusan tetapi belum pun genap satu minggu dia mengambil tindakan seolah-olah tidak berada dalam PH lagi. Ini bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Dia membuat keputusan tanpa Majlis MPT Bersatu. Dia isytiharkan Bersatu sebahagian daripada parti Perikatan Nasional (PN).

“Dia isytihar berada dalam PN. Nampak seolah-olah parti ini sudah diambil separuh oleh Muhyiddin tanpa merujuk kepada badan yang berkuasa dalam Bersatu. Inilah masalah yang dihadapi oleh Bersatu,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Dr Mahathir yang mempertahankan jawatan Pengerusi Bersatu selepas tiada pencalonan lain diterima bagi jawatan itu pada pemilihan parti tidak lama lagi berkata, tindakan Muhyiddin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membelakangi Bersatu kerana ia tidak mendapat keizinan daripada parti.

Katanya, tindakan Muhyiddin itu menyedihkan kepimpinan Bersatu kerana awal penubuhan parti itu adalah untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.

“Apabila kita berjuang dan mendapat kejayaan bersama rakan (dalam PH) Muhyiddin membelakangkan dasar dan perjuangan parti dan kini bekerjasama dengan orang yang dijatuhkan sehingga ia kini menjadi kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button