Pendapat

Kerajaan PN: Jangan lupa pesanan Tun Hamid!

Rakyat taruh harapan kerajaan sekarang stabil, berintegriti

SEMENJAK kerajaan PN ditubuhkan awal Mac 2020, rakyat menaruh harapan besar agar kerajaan ini akan menjadi sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti, bebas dari salah guna kuasa dan rasuah, mesra rakyat dan memimpin dengan berwibawa.

2. Tidak terlambat rasanya kita turunkan sekali lagi beberapa pesanan penting bekas Ketua Hakim negara, Tun Hamid yang memberi peringatan kepada PN selepas memegang tampuk kuasa.

3. Tun Hamid berpesan pada 2 Mac 2020, sehari selepas YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan:

a. PN tidak akan mengulangi kesilapan UMNO dan PH;

b. PN tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa;

c. PN tidak akan melantik Ahli Parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalan Kabinet PN;

d. Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undang-undang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Peguam Negara/Pendakwa Raya;

e. Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai kanan SPRM yang berpengalaman, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM;

f. Kerajaan PN tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi Peguam Negara/Pendakwa Raya dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka;

g. Kerajaan PN juga sekali-kali tidak akan mempengaruhi atau menekan Pendakwa Raya supaya menghentikan pendakwaan atau menarik balik pertuduhan terhadap Ahli Kabinet PN, Ahli Parlimen PN atau penyokongnya;

h. Kerajaan PN sekali-kali tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugas kehakimannya;

i. Kerajaan PN tidak akan meminta pengampunan ke atas sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap Ahli Kabinet PN, Ahli Parlimen PN atau penyokongnya. Tetapi hak mereka berbuat demikian tidak dihalang;

j. Kerajaan PN akan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki ekonomi negara, taraf kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.

4. Beliau menegaskan, walaupun jika dapat kekal memerintah sehari, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti-parti komponen dalam PN hendaklah bertegas dalam hal-hal yang disebut di atas. Beliau berpesan, lebih baik tumbang walaupun melakukan sesuatu yang betul, daripada tumbang kerana melakukan sesuatu yang salah!

5. Semoga pesanan berharga dan ikhlas dari Tun Hamid ini menjadi panduan bermanfaat kepada pemimpin-pemimpin dalam kerajaan PN yang baru menandatangani MoU antara mereka baru-baru ini.

Presiden BERJASA
Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close