Berita Utama

PH-BN perlu buang sikap ‘abang besar’ dalam agihan kerusi PRN

Harus terbuka terima meski terpaksa kecilkan jumlah dari 36 kerusi DUN

ALOR SETAR, 5 Rejab 1444H, Jumaat – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mesti membuang sikap ‘abang besar’ dalam perbincangan meja bulat mengenai peruntukan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedua-dua pihak harus menerima dengan hati terbuka meskipun terpaksa mengecilkan jumlah dalam pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam pilihan raya.

“Semua pihak mesti terbuka dengan hakikat bahawa kita perlu mengambil bahagian yang lebih kecil, sama ada di pihak PH atau BN.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak boleh bertanding sebagai abang besar untuk menjadi dominan dalam pakatan, perlu ada yang memberi dan menerima,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, PH negeri telah memulakan perbincangan tidak rasmi dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa pemimpin BN di Kedah mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya negeri.

“Kami telah mula mengadakan perbincangan tidak rasmi selepas kepimpinan nasional PH memberi persetujuan untuk kami memulakan perbincangan mengenai persiapan pilihan raya negeri,” katanya.

Mahfuz melahirkan keyakinan bahawa kedua-dua gabungan itu akan dapat mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi berdasarkan semangat kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, sebelum ini memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri bersama-sama Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022, memandangkan ia diadakan pada musim banjir tahunan.

Penggal Dewan Undangan Negeri semasa bagi enam negeri akan tamat pada Julai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button