Berita Utama

Bekas peguam hadapi 4 tuduhan pecah amanah

Dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin

PETALING JAYA, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Seorang bekas peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil pembelian dan jualan rumah milik empat individu berjumlah RM330,350.81, pada 2011 dan 2012.

Herlina Kamisiah Sauli, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Wanita itu didakwa sebagai peguam melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang pembelian rumah berjumlah RM30,159 milik Rosdiana A. Mangkona dan wang hasil penjualan rumah milik tiga individu lain iaitu Tan Chang Ngiap berjumlah RM68,191.81, N. Selvam (RM72,000) dan Mubarak Hussain Akhtar Husin (RM160,000), untuk kegunaan sendiri.

Tertuduh yang ditangkap pada 15 Mei lepas, didakwa melakukan kesemua kesalahan di sebuah firma guaman di Dataran Sunway, Kota Damansara di sini, antara 25 Februari 2011 dan 1 Februari 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Azwarnida membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris yang mencadangkan agar wanita itu dibebaskan dengan jaminan RM460,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Zulkifli Awang yang mewakili Herlina Kamisiah bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum atas alasan anak guamnya telah menamatkan karier sebagai peguam pada 2013 dan kini mengambil upah menjahit baju bagi menanggung seorang anak perempuan berumur sembilan tahun serta ibu berumur 57 tahun. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close