Berita Utama

‘Beta minta Tun M tak letak jawatan, tapi beliau tetap dengan keputusan’

Muhyiddin dilantik setelah dapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat

BANGI, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah Baginda hari ini memberi penjelasan berkenaan proses peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lalu.

“Pada 24 Februari 2020 yang lalu; naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Sekitar jam 5.00 petang pada hari yang sama; Beta telah berkenan menerima menghadap Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohammad.

“Dalam pertemuan tersebut; Beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohammad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya,” titah baginda seperti dilapor media tempatan.

Justeru, Al-Sultan Abdullah menjelaskan bahawa Baginda bertanggungjawab dalam melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti yang termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu, pada 25 dan 26 Februari 2020; Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam membuat perhitungan secara demokrasi.

“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan dengan tanpa ada penghujungnya.

“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” titah Baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close