Berita Utama

COVID-19: Elak jumpa tetamu 14 hari selepas discaj

'Buat rumah tertutup, jangan ziarah kubur dan kunjung mengunjung'

PUTRAJAYA, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Pesakit COVID-19 yang sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital perlu kuarantin diri masing-masing selama 14 hari di rumah sebelum boleh menerima tetamu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit COVID-19 yang sudah discaj dari hospital tidak digalakkan menerima pelawat ketika menjalani kuarantin di rumah.

“Sepanjang tempoh 14 hari kuarantin kalau boleh jangan ada pelawat berjumpa (pesakit COVID-19 yang sudah sembuh itu),” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital boleh menerima tetamu semasa sambutan Aidilfitri nanti.

Beliau berkata selepas menjalani kuarantin 14 hari, pesakit COVID-19 yang sudah sembuh itu boleh berjumpa pelawat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu menjaga penjarakan sosial, menggunakan pelitup muka serta mencuci tangan.

Ditanya mengenai amalan menziarahi kubur pada Aidilfitri nanti Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai menyambut Aidilfitri pada kali ini secara luar dari kelaziman.

“Buat rumah tertutup, jangan ziarahi kubur dan kunjung mengunjung.COVID-19 masih ada dalam komuniti,” katanya.

Menurut beliau, KKM akan melihat dan memantau sama ada perayaan Aidilfitri akan meningkatkan kes COVID-19 di negara ini atau tidak.

“KKM berharap rakyat Malaysia akan patuh pada SOP pada musim perayaan nanti,” katanya lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button