Berita Utama

JPJ jangka kutip hasil cecah RM5 juta hari ini

82 pejabat JPJ dibuka semula seluruh negara

SHAH ALAM, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka dapat mengutip hasil mencecah RM5 juta hari ini apabila semua urus niaga kaunter perkhidmatan jabatan itu beroperasi semula selepas ditutup semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, jumlah kutipan hasil itu dijangka diperoleh untuk hari ini sahaja menerusi operasi kaunter yang bermula 8 pagi sehingga 4 petang di seluruh negara.

“… dan untuk Selangor sahaja, kita jangka akan mengutip hasil sehingga RM1.6 juta (hari ini), ” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke JPJ Selangor di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata, sebanyak 82 pejabat JPJ telah dibuka di seluruh negara, selain pihaknya turut menggerakkan 17 kenderaan perkhidmatan kaunter JPJ Mobile bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan berkenaan.

Katanya, sebelum ini, JPJ turut membuka kaunter bagi beberapa urus niaga secara berperingkat dengan menumpukan kepada kenderaan perdagangan bagi menyokong pembangunan sektor ekonomi negara.

“Kaunter urus niaga melibatkan kenderaan perdagangan dibuka sejak 29 April lepas dan dalam tempoh itu hingga 12 Mei lalu, sebanyak RM83 juta berjaya dikutip daripada operasi kaunter berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin turut mengingatkan pemegang Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu (LLM) yang tamat tempoh supaya tidak tergesa-gesa hadir ke JPJ untuk memperbaharui lesen kerana mereka dikecualikan daripada memperbaharuinya sejak PKP dilaksanakan.

Katanya, orang ramai masih boleh memandu di jalan raya dengan lesen tamat tempoh dengan syarat membawa nota lindung insurans yang masih sah.

“Kira-kira 1.8 juta lesen kenderaan bermotor turut dikesan tamat tempoh dari 18 Mac sehingga 30 Mei lepas, manakala bagi lesen memandu pula adalah sebanyak 981,883 bagi tempoh yang sama,“ katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button