Berita Utama

KKM pertimbang penguatkuasaan larang bawa anak keluar

Pematuhan SOP perlu dipertingkat walaupun kes positif catat 2 angka

PUTRAJAYA, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Orang ramai yang masih berdegil membawa anak kecil ke tempat awam tanpa urusan penting berkemungkinan berhadapan tindakan penguatkuasaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok berhubung perlaksanaan penguatkuasaan terhadap mereka yang masih berdegil.

Setakat ini, KKM dan MKN masih menggunakan pendekatan lembut dengan menasihati ibu bapa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Sekarang ini kita (bersama MKN) akan berbincang bagaimana kita dapat menguatkuasakan (tindakan) iaitu mengambil tindakan kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke tempat awam dan hospital tanpa ada temujanji,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menjawab soalan pemberita sama ada KKM akan mengeluarkan sebarang arahan berhubung tindakan ibu bapa yang membawa anak pergi ke tempat awam tanpa urusan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pematuhan SOP masih perlu dipertingkatkan walaupun kes positif jangkitan COVID-19 sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKPB ini kekal mencatatkan dua angka, setakat ini.

Beliau berkata, pematuhan SOP seluruh rakyat penting sebelum pelaksanaan ‘exit strategy’ dipertimbangkan, jika tidak PKPB berkemungkinan dilanjutkan.

“Sekarang ini kita bukan bincang pasal ‘exit strategy’, kita hanya beri kelonggaran iaitu PKPB. Kalau patuh dan mencatatkan (kes positif) dua angka, mungkin kita akan pertimbangkan sama ada kita perlu ‘exit strategy’,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyambut ulang tahun jubli emas ke-50 hari ini.

“Sebagai graduan UKM saya berdoa agar UKM akan terus melahirkan graduan-graduan yang cemerlang dan berdaya saing dengan motonya ‘Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan”,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button