Berita Utama

MAINPP larang ziarah kubur ketika Aidilfitri

Beberapa aktiviti lain dalam proses keluarkan garis panduan

KEPALA BATAS, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak membenarkan aktiviti menziarahi ke tanah perkuburan ketika Hari Raya Aidilfitri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Menteri I, Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, berikutan amalan ziarah ke pusara itu hukumnya sunat, maka masyarakat Islam disaran untuk menunda niat melakukan kelaziman itu.

Beliau berkata, jika berlaku kematian, bacaan talkin di tanah perkuburan semasa majlis pengebumian juga dilarang sepanjang tempoh PKPB sebagai usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

“Dalam konteks di Pulau Pinang, kebenaran untuk melakukan beberapa aktiviti lain yang dicadangkan masih dalam proses keluarkan garis panduan yang akan diumumkan dalam masa sehari dua ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyampaikan replika kunci rumah kepada lima keluarga asnaf selaku penerima bantuan rumah ZPP bernilai RM57,515.86 bagi setiap keluarga.

Beliau berkata, ZPP menyasarkan untuk membina 40 unit rumah bantuan asnaf setahun dalam usaha menyelesaikan masalah miskin tegar di negeri itu dengan menyediakan kediaman baharu untuk golongan yang kurang berkemampuan.

“Setiap rumah bantuan ZPP ini berkeluasan 800 kaki persegi (40’ x 20’) dengan setiap daripadanya dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, dan jumlah keseluruhan bagi kelima-lima rumah ini berjumlah RM287,579.30.

Sementara itu, penerima bantuan rumah ZPP, Shawai Dahaman, 61, bersyukur kerana sambutan Syawal beliau sekeluarga kali ini berbeza kerana mendapat rumah baharu.

“Sebelum ini saya sekeluarga, empat beranak termasuk seorang cucu, tinggal di Permatang Janggus sejak 1959. Rumah yang saya diami ketika itu agak daif, banyak bocor,” kata pesara kerajaan itu. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close