Berita Utama

MPN nafi keluar kenyataan berhubung Proklamasi Darurat

Junjung titah Agong bagi tangani wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat dan mengesahkan kenyataan tersebut adalah palsu.

Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, MPN diwakili para ilmuwan negara menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat itu.

‘’MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar Perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamasi Darurat, pandangan dari profesor adalah berdasarkan sudut pandangan, keilmuan dan kebitaraan masing-masing.

‘’Namun pihak MPN melalui mesyuarat itu turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat dilaksanakan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

MPN menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui itu benar-benar memenuhi matlamat menangani wabak COVID-19.

Katanya, MPN juga menekankan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.

Isnin lepas, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Baginda turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat diturunkan dengan berkesan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button