Berita Utama

Penunggang motosikal maut langgar tembok

Permukaan jalan di lokasi kejadian berlopak, berselekoh

LANGKAWI, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Seorang lelaki yang sedang menuju ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan, maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan merempuh tembok pagar sebuah rumah di Jalan Kampung Teluk Ewa, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu menyebabkan Mohammad Rosidi Rohim, 29, maut di tempat kejadian manakala ibunya Che Su Said, 61, yang membonceng motosikal cedera parah dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

“Siasatan awal mendapati, dua beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Felcra Kok menuju Klinik Kesihatan Ayer Hangat untuk mendapatkan rawatan selepas Mohammad Rosidi mengadu lelah. Ketika kejadian, Mohammad Rosidi yang disyaki menunggang motosikal dengan laju telah terbabas dan melanggar tembok pagar sebuah rumah.

“Mohammad Rosidi disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik manakala ibunya patah kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat, manakala ibunya turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

“Siasatan awal polis mendapati permukaan jalan di lokasi tersebut berlopak, sedikit selekoh dan ada garisan berkembar. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close