Berita Utama

‘Sesama pemimpin pun khianat, apa lagi rakyat nak harap’

Rakaman audio - kepimpinan PH didakwa bertegang leher isu peralihan kuasa

BANGI, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Rakaman audio dipercayai dirakam ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari lalu yang telah tersebar di media sosial seharusnya dilihat sebagai satu perbuatan khianat.

Rakaman berjudul ‘Pendedahan Eksklusif Mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020’ itu disiarkan di Facebook Bersatu sokong Tun Mahathir pada 16 Mei lalu.

Astro Awani yang memetik kenyataan dalam rakaman berkenaan melaporkan, dalam audio lebih dua jam itu, rata-rata semua kepimpinan PH ketika itu bertegang leher mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi rakaman itu juga, Presiden PAN, Mohamad Sabu membayangkan PH akan kembali menjadi pembangkang akibat daripada perpecahan dalam gabungan tersebut.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja Setiausaha Agung Bersatu ketika itu, Datuk Marzuki Yahya menegaskan partinya akan membuat satu keputusan sekiranya Dr Mahathir terus didesak meletak jawatan.

Dalam mesyuarat itu juga, ada beberapa pemimpin yang mahu satu tarikh ditetapkan selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Manakala beberapa pemipin lain pula dipercayai mendesak agar Dr Mahathir dibenarkan meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri selama satu penggal.

Mengulas mengenai kebocoran maklumat berkenaan, Setiausaha Majlis Ulama ISMA, Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, ia seharusnya dilihat sebagai satu perbuatan khianat, apatah lagi sekiranya yang melakukannya adalah seorang muslim yang mengaku diri mereka adalah amanah.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah yang mana baginda menyifatkan perbuatan khianat ini sebagai teman yang paling buruk.

“Bahkan dalam hadis yang lain, mereka disifatkan seperti munafik yang kerap mengingkari janji.

“Bayangkan andai sesama pemerintah bersifat khianat, memperjuang agenda masing-masing dan tidak memikirkan perihal rakyat, maka apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dari pemimpin seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close