Berita Utama

Tambah baik proses pelaburan dalam negara: Agong

WKB 2030 akan jadi pencetus hala tuju pembangunan negara

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah proses kelulusan pelaburan terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah ditambah baik agar lebih cekap dan pantas.

Seri Paduka bertitah penambahbaikan tersebut penting bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke dalam negara.

“Menyedari pentingnya suntikan pelaburan bagi merancakkan ekonomi negara, kerajaan beta akan terus mempermudahkan urusan perniagaan bagi meningkatkan aktiviti pelaburan.

“Hal ini termasuk keperluan mengemas kini undang-undang, proses kelulusan dan insentif sedia ada,” titah Seri Paduka semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, di sini, hari ini.

Dalam Titah Diraja, Seri Paduka menyatakan kerajaan akan terus merancang, memperkenal serta melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi merancakkan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan rakyat.

Ke arah itu, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 akan menjadi pencetus kepada hala tuju pembangunan negara, titah baginda.

“Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan merupakan fasa pertama Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Beta yakin dasar dan strategi rancangan tersebut yang di rangka melalui penglibatan pelbagai pihak akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat jelata keseluruhannya,” titah Al-Sultan Abdullah.

WKB 2030 bermatlamat supaya segenap lapisan rakyat dapat mengecap taraf hidup yang wajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama serta inklusif.

Selain itu, jurang ekonomi dan pembangunan antara kelas pendapatan, wilayah, etnik dan rantaian bekalan akan dapat dirapatkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button