Berita Utama

Titah Agong bijak, penuh hikmah

Boleh berbeza pandangan, tapi perlu secara profesional

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Rata-rata Ahli Parlimen dan senator menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari sebagai bijak dan penuh hikmah.

Menyeru supaya ahli-ahli politik agar jangan mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu di kala rakyat sedang berhadapan dengan kesukaran akibat wabak COVID-19, titah Seri Paduka itu dianggap meredakan suhu politik negara ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbezaan pendapat dalam politik sememangnya menjadi satu kelaziman namun ia seharusnya berpada-pada.

Beliau berkata, ahli politik perlu menanganinya dengan cara profesional dan matang supaya pandangan yang bernas dapat diambil untuk dijadikan dasar atau program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau kita boleh berbeza pandangan dengan cara profesional dan matang, ia tidak akan membawa kepada perpecahan atau kerosakan sebaliknya ia menjadi medan pertembungan idea yang bagus jadi kita dapat menilai dan memilih idea terbaik untuk dijadikan dasar, program dan sebagainya.

“Dalam politik kita harus berpada-pada apabila berbeza pandangan, jangan sampai berpatah arang. Cari kesamaan dan lazimnya persamaan itu lebih besar dan lebih banyak,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri pula berkata, titah ucapan Seri Paduka Baginda itu amat bernas disulami kebijaksanaan luar biasa bagi meredakan suhu politik yang sedang ‘panas’ ketika ini.

“Titah baginda juga mengembalikan satu tradisi budaya timur dan kesantunan yang tinggi yang akhirnya dapat dijelmakan kepada semua ahli dewan yang mulia ini,” katanya.

Timbalan Menteri Luar negeri, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, seruan supaya ahli-ahli politik agar jangan mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu tepat supaya semua ahli parlimen sedar dan perlu mengelak mencetuskan krisis politik sekali lagi sebaliknya mengutamakan rakyat dan negara.

“Titah yang amat baik dan tepat, mengingatkan MP-MP (ahli parlimen) untuk mengutamakan rakyat dan negara, elak dari mencetuskan krisis politik lagi,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang berkata, semua ahli parlimen perlu menghayati titah tersebut malahan juga di peringkat negeri.

Bagi Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof pula, semua ahli parlimen perlu akur dengan titah baginda yang sekali lagi menegaskan Perdana Menteri yang dipilih sekarang adalah layak dan mendapat majoriti sokongan ahli dewan rakyat.

“Tidak perlu lagi mencetuskan porak peranda, Perdana Menteri yang dipilih direstui Agong, cukup-cukuplah lah kita heret rakyat bersama isu politik, tak perlu turunkan Perdana Menteri yang dilantik oleh wakil rakyat dan dilantik oleh Agong,” katanya yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh gembira apabila pengorbanan barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19 diberi penghormatan tertinggi dengan tepukan sanjungan di Dewan Rakyat pagi ini.

“Saya juga gembira mendengar Tuanku memberikan fokus kepada isu rasuah dan mengingatkan semua mengenai amalan integriti dan tadbir urus yang baik. Perpaduan kaum turut diberi perhatian dalam titah Tuanku,” dalam balasan aplikasi WhatsApp.

Bagi Ahli Parlimen Johor Bharu yang juga Ketua Angkatan Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, kematangan Ahli-Ahli Parlimen terutamanya Pakatan Harapan (PH) ternyata positif dan membina.

“Sewajarnya Titah YDPA dapat dibahaskan dengan semangat Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen sama ada dari sudut dasar, pelaksanaan mahupun maklum balas.

“Walaupun sesi kali dipendekkan, saya akan pastikan suara rakyat dan anak muda dapat diangkat pada sesi Parlimen yang akan datang,” katanya.

Persidangan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini berlangsung sehari dengan titah ucapan pembukaan dewan oleh Yang di-Pertuan Agong. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button