Berita Utama

Tun M, Anwar sudah ‘expired’

Perguna nama rakyat, bila dapat kuasa satu habuk pun tak dapat selesai

BANGI, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Rakyat Malaysia perlu menjawab soalan ini, adakah negara masih memerlukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Demikian persoalan dilontarkan Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman ketika berbicara mengenai suasana politik negara ketika ini.

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, sekiranya rakyat merasakan bahawa Malaysia boleh ditadbir tanpa ada kedua-dua tokoh berkenaan, maka mereka harus berundur dan direhatkan.

“Adakah mereka diperlukan untuk bangunkan negara pada masa akan datang. Bagi saya tiada keperluan, mereka ini sudah ‘expired’ dan tidak dapat membantu apa-apa pun. 

“Kalau kita kata boleh mentadbir negara tanpa mereka, bagi saya mereka harus berundur, mereka harus direhatkan. Jangan kita menyahut seruan dakyah politik mereka. 

“Mereka akan menggunakan nama rakyat, untuk kepentingan rakyat dan sebagainya, tetapi apabila mereka mendapat kuasa, ternyata mereka tidak melakukan apa-apa kepada rakyat,” katanya dalam sebuah video bertajuk ‘Apa Tun Mahu Lagi’ yang disiarkan TV Pertiwi.

Beliau percaya majoriti rakyat berasa lega selepas berlaku perubahan tampuk pemerintahan yang menyaksikan kejatuhan PH di tangan mereka sendiri, kepada sebuah kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita dapat lihat apabila berlaku perubahan kerajaan, rakyat lega, segala keluh kesah, keadaan susah hati, rungutan telah tamat. Kita sekarang sedang menikmati tempoh tenang. 

“Saya yakin rakyat tenang, puas hati dan gembira dengan situasi sekarang berbeza dengan situasi di mana kerajaan PH, Tun memerintah,” katanya.

Ustaz Abdullah berkata, zaman pemerintahan PH – yang membawa gaya pemerintahan gangsterisme, rasisme, radikalisme dan sebagainya telah meresahkan hati rakyat. 

Bahkan, katanya, penguatkuasaan undang-undang – Rule of Law – yang sering dilaung-laungkan Dr Mahathir pada awal pemerintahan PH juga sangat lemah pelaksanaannya.

“Bila dia memerintah, gagal laksana Rule of Law. Bila gagal, rakyat rasa tidak aman, keluh kesah, rasakan nasib mereka tidak terbela, hak mereka terancam.

“Menteri juga tidak dapat laksanakan tugas dengan baik, tidak menunaikan janji, tidak laksana dasar dengan betul, tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat seperti harga tol, harga barang naik, pengangguran, pendapatan rakyat. Satu habuk pun mereka tak selesaikan,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, Ustaz Abdullah Zaik yakin suasananya akan berubah. 

Katanya, pola perbincangan bukan lagi tertumpu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi keseluruhan permainan politik dalam konteks Malaysia. 

“Sekarang kita belum dapat lihat sebab kerajaan hari ni bukan kerajaan Bersatu, masa depan Muhyiddin dan Bersatu ketika ini dan pada masa akan datang masih belum jelas. 

“Persoalan penting, kita mesti dapat memahami aspirasi rakyat, bukan bawa agenda mana-mana parti, kehendak politik mana-mana parti. Diharapkan parti Melayu Islam yang terdapat di dalam negara ini dapat bertolak ansur untuk memahami kehendak rakyat,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close