Berita Utama

Tun M tetap teruskan usul undi tak percaya terhadap Muhyiddin

'Janji jatuhkan kerajaan Najib, dia tukar pendirian tak rujuk parti'

PUTRAJAYA, 25 Ramadan 1441H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mahu meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, usul itu diteruskan kerana sebelum ini dakwanya, Muhyiddin telah membuat keputusan sendiri untuk berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), tanpa memaklumkan atau mendapat persetujuan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Perdana Menteri yang ada sekarang telah membuat janji untuk menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia tukar pendirian tanpa dirujuk kepada parti, tanpa buat keputusan daripada parti.

“Walaupun ada usul untuk Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak pernah dibincang dalam Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan kerjasama dengan Perikatan Nasional.

“Dia (Muhyiddin) buat suka hati dia sahaja, sebab itu kita tidak ada kepercayaan terhadap Presiden Parti Bersatu ini,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau mempunyai majoriti untuk meneruskan usul tersebut, Tun Mahathir berkata, itu bukan perkara pokok yang perlu difokuskan.

“Soal majoriti ini, bukan sesuatu yang tidak akan berubah. Ini kali pertama kita mempunyai sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti yang amat tipis.

“Kerajaan dahulu ada dua per tiga majoriti. Kalau kami dapat dedahkan kesalahan kerajaan, mungkin ada dari parti kerajaan (PN) akan sokong.

“Tapi kalau kami tidak kemukakan, sudah tentu siapa pun tidak tahu kenapa usul dikemukakan. Ini hak saya sebagai Ahli Parlimen. Saya berhak kemukakan usul kepada kerajaan,” katanya.

Dewan Rakyat sebelum ini menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang bersidang pada hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul diterima mengikut Perkara 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, persidangan hari ini hanya menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohamad Ariff berkata, pindaan itu dibuat selepas menerima surat pemakluman daripada Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close