Berita Utama

343 tangkapan di Selat Melaka sepanjang bulan Januari-Mei

Lakukan 60,584 pemeriksaan, 11,585 penggeledahan ke atas kapal

PELABUHAN KLANG, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan 343 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di Selat Melaka sepanjang Januari hingga 15 Mei lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sepanjang tempoh itu juga agensi berkenaan melakukan 60,584 pemeriksaan dan 11,585 penggeledahan ke atas kapal yang melalui perairan tersebut.

“Sebahagian besar kes tangkapan melibatkan Akta Perikanan 1985 (174 kes), Akta Imigresen 1959/1963 (47 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (39 kes) dan diikuti lain-lain akta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai prosedur operasi standard penguatkuasaan wabak COVID-19, Mohd Zubil berkata tindakan tegas diambil ke atas bot-bot nelayan asing yang menceroboh, antaranya rampasan peralatan menangkap ikan, membuang bekalan ais dan air ke laut sebelum mengiring bot terbabit keluar dari sempadan perairan negara.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini, sebanyak 50 bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Terengganu telah dikenakan tindakan tegas,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button