Berita Utama

Agong institusi terbaik tenteramkan kerakusan ahli politik

Baginda mainkan peranan ketua negara penuh wibawa, bijaksana

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Ahli-ahli Parlimen di negara ini disaran untuk meletakkan kepercayaan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong mampu memberi nasihat dan peringatan kepada kepimpinan negara yang dipilih melalui demokrasi.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, peranan Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja untuk mendengar nasihat, malah turut bertanggungjawab memberikan peringatan ke atas ahli-ahli Parlimen.

Malah, katanya, institusi Yang di-Pertuan Agong juga berperanan sebagai pengimbang dalam sistem demokrasi dan raja berperlembagaan.

“Kita juga perlu meneliti tanggungjawab baginda sebagai raja berperlembagaan dan ketua negara.

“Jadi, dalam kombinasi kedua-dua peranan ini, baginda atau institusi Yang di-Pertuan Agong itu adalah sebaik-baik institusi untuk mententeramkan atau meredakan keadaan, sekiranya ada kerakusan kuasa dalam kalangan pemain-pemain parti politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14, semalam,  menitahkan ahli politik untuk tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu.

Baginda bertitah, ini kerana rakyat jelata kini masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh resah rakyat, membela nasib rakyat,” titahnya.

Baginda turut bertitah, ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan dan caci mencaci, sebaliknya menjadikannya untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Berpegang pada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, kenyataan Al-Sultan Abdullah semalam adalah perasaan yang dizahirkan baginda berkaitan suasana politik negara ketika ini, selain memberi peringatan kepada semua pihak di dalam persidangan berkenaan.

Beliau menyifatkan kenyataaan baginda sebagai satu peranan yang telah dimainkan dengan baik oleh seorang ketua negara, yang turut mempunyai kewibawaan dan kebijaksanaan dari segi penampilan dan tutur kata.

“Dalam melahirkan perbezaan pandangan dalam kalangan orang-orang politik, tatacara atau peringatan yang diberi oleh Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa baginda sebagai seorang raja berperlembagaan.

“Baginda berhak untuk menyampaikan pandangan dan peringatan kepada kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button