Berita Utama

Aktivis ISMA terima pengiktirafan tertinggi di AS

Jadikan pengorbanan ibu bapa sebagai inspirasi kejar kejayaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Melihat sendiri pengorbanan ibu bapa bersusah payah memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak, menjadi dorongan terbesar seorang pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk terus berjaya.

Meskipun bunyinya kedengaran agak klise, itulah hakikat yang dialami Nur’iffa Nazirah Taini Achim atau lebih dikenali sebagai Iffa yang berusaha meraih keputusan cemerlang dalam setiap semester pengajian.

Usaha keras anak sulung daripada lima beradik itu membuahkan hasil apabila merangkul kejayaan Class of 2020 Deparmental Award dari Jabatan Mikrobiologi dan Genetik Molekular, College of Natural Science.

Beliau yang menuntut pengajian Ijazah Sarjana Muda Microbiologi di Universiti Michigan (MSU), Amerika Syarikat (AS) menerima anugerah Dietrich C Bauer Scholarship Award (High Honor Distinction).

Difahamkan penganugerahan itu berdasarkan kepada kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian dan kualiti serta potensi kajian yang dijalankan.

Penganugerahan Iffa disiarkan dalam laman web rasmi Department of Microbiology and Molecular Genetics, College of Natural Science, MSU.

Selain anugerah itu, Iffa juga menerima anugerah High Honor untuk pengajian ijazahnya – High Honor di MSU diberikan berdasarkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) pada semester akhir pengajian.

“Ia adalah anugerah yang diberikan untuk pelajar yang menduduki peratusan enam peratus teratas dari seluruh ‘graduating class of 2020’,” katanya ketika ditemu bual Ismaweb.net.

Iffa yang mengharumkan nama Malaysia dan JPA di peringkat antarabangsa tidak keberatan untuk berkongsikan prinsip hidup yang dipegang ketika diminta.

“Saya percaya dengan pepatah ‘if you’re going to do something, do it right or don’t do it at all’ (sekiranya anda mahu melakukan sesuatu, lakukan dengan betul atau tidak lakukannya sama sekali),” katanya sambil tersenyum.

 Belajar sambil berdakwah

Berjauhan dari tanah air sendiri bukan penghalang untuk Iffa melakukan aktiviti dakwah di bumi AS.

Beliau memaklumkan tidak pernah secara spesifiknya membahagikan masa antara aktiviti dakwah dan belajar memandangkan kedua-duanya selalu bergerak seiring.

Anak jati Melaka itu yang terlibat dalam Biro Komunikasi dan Multimedia (BKOM) ISMA-USC (2018-2020) bagaimanapun mengakui bahawa tidak mampu untuk melakukan kedua-duanya sekali gus tanpa bantuan rakan-rakan usrah, kakak naqibah dan ahli ISMA USC yang lain.

“Saya rasa bersyukur dan amat gembira berada dalam kalangan orang yang baik-baik ini kerana saya tahu saya takkan jadi siapa saya sekarang jika saya tidak bergaul dengan mereka dan berada di jalan ini.

“Jujur saya katakan, ada waktu-waktunya saya juga pernah rasa malas, tidak bermotivasi, tertekan untuk buat kerja-kerja dakwah. Tetapi apabila saya fikirkan tentang rakan-rakan saya yang lain di dalam biro betapa gigihnya, susahnya untuk mereka hidupkan program dakwah di AS, saya tahu saya perlu bantu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Iffa menyifatkan ahli-ahli ISMA USC adalah individu yang paling tidak mementingkan diri sendiri, berkerja keras, memahami yang pernah beliau kenal.

Beliau juga tidak kekok menceritakan suasana tarbiyah dan dakwah di AS sangat jauh berbeza dengan suasana di Malaysia ataupun di negara-negara lain.

“Secara peribadi dari pengalaman saya sendiri, program dakwah di sini amatlah susah dan berat tetapi rakan-rakan saya tidak pernah berhenti usaha sedaya upaya untuk aktiviti dakwah di AS dan saya berasa amat bersyukur saya sebahagian darinya,” luahnya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close