Berita Utama

BERJASA sudah ada senarai 40 calon mampu menang PRU15

Sentiasa konsisten tonjol imej calon profesional selari agenda parti

BANGI, 16 Rabiulawal 1444H, Khamis – BERJASA telah mengenal pasti 40 calon boleh menang yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, senarai calon parti itu dikenal pasti setelah melalui proses saringan oleh Majlis Pilihan Raya BERJASA.

Beliau berkata, BERJASA konsisten dalam menonjolkan imej calon profesional, selari dengan imej parti yang beragenda dan berwawasan.

Justeru, calon-calon yang bakal dikemukakan parti itu terdiri daripada ketua jabatan kementerian, doktor pakar, pensyarah universiti, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional (MNC) serta beberapa teknokrat dan individu ternama lain.

“BERJASA sentiasa konsisten dengan naratif mengembalikan maruah dan keunggulan Malaysia di persada dunia.

“Impian Nasional BERJASA 2040 sebagai visi Malaysia yang baharu sentiasa menjadi destinasi utama parti ini,” katanya dalan kenyataan, hari ini.

Muhammad Lukman berkata, PRU15 adalah satu langkah penting untuk BERJASA terus mengorak langkah ke hadapan di arena politik tanah air.

“Penyertaan BERJASA di dalam Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai strategi taktikal PRU15 disambut positif oleh pelbagai pihak berpengaruh.

“Demi merealisasikan hasrat besar tersebut, inilah langkah pertama yang perlu disambut dengan penuh bangga oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

BERJASA adalah sebahagian komponen GTA yang turut terdiri daripada Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Memandangkan penubuhan GTA belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semua komponen gerakan itu bersetuju menggunakan logo Pejuang bagi menghadapi PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button