Berita Utama

Sabah, Sarawak sebagai wilayah? Pinda Perlembagaan dah lulus baru umum

Istilah wilayah ada implikasi terhadap kuasa DUN di kedua-dua buah negeri

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Penggunaan istilah wilayah untuk Sabah dan Sarawak memerlukan kajian terperinci serta pindaan Perlembagaan.

Justeru panggilan digunakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Sabah dan Sarawak – yang sebelumnya disebut sebagai ‘negeri’ ditukar kepada ‘wilayah’ – dianggap tidak wajar kerana Perlembagaan tidak dipinda secara rasmi.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika mahu digunakan juga istilah wilayah barangkali ada implikasi terhadap kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak menggubal undang-undang menurut perkara 74 dan 77 kerana tiada disebut kuasa wilayah.

“Tinggallah mereka bergantung kepada Perkara 95B itu pun disebut negeri juga. Jadual Kesembilan pula ada Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama, tiada Senarai Wilayah.

“Jadi kalau nak umumkan pun panggillah Parlimen bersidang, pinda Perlembagaan dah lulus baru umum. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan setakat gantikan perkataan negeri kepada wilayah sahaja,” katanya menulis di Facebook, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan bahawa perisytiharan Perdana Menteri tidak boleh mengatasi Perlembagaan.

“Pernah dulu kerajaan PH mahu meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tetapi gagal mendapat majoriti atas sebab tertentu termasuk bantahan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak juga.

“Saya tiada kecenderungan untuk bersetuju atau tidak bersetuju penafian Sabah dan Sarawak sebagai negeri, perisytiharan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah tidak berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia tidak dipinda.

“Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu dulu sebenarnya ada negara negara berdaulat dengan pemerintahan sendiri. Sultan masing-masing berkenan untuk menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan negara-negara tersebut menjadi negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan Sabah dan Sarawak merupakan jajahan British yang mana telah diberikan kemerdekaan sebelum membentuk Persekutuan Malaysia.

“Ada referendum dibuat. Perjanjian MA63 juga ditandatangani. Sabah dan Sarawak (serta Singapura ketika itu) bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia dan beberapa bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dipinda.

“Perlembagaan menyebut semua sempadan di dalam Malaysia dibahagikan mengikut negeri selain tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sedang melaksana pertukaran nama cawangan bagi semua agensi di bawahnya di Sabah dan Sarawak.

Langkah itu susulan keputusan dan arahan diperoleh pada Mesyuarat Kabinet sebelum itu.

Arahan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri yang mengumumkan panggilan untuk Sabah dan Sarawak yang sebelum ini disebut sebagai ‘negeri’ ditukar kepada ‘wilayah’ dengan serta-merta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button