Berita Utama

Berubah pendirian terhadap DAP, Tun M bacul?

Bila bersama Bersatu kata tak suka DAP, ketika dengan rakyat puji pula

BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Penganalisis politik, Dr Kamarul Yusoff menempelak sikap talam dua muka Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pendirian partinya bersama Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, beliau turut hairan dengan tindak-tanduk bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini sering memuji DAP, namun dalam diam tidak menyukai mereka.

“Sedap sekali Tun Dr Mahathir mengata orang Melayu sebagai bacul sebelum ini kerana kononnya takutkan DAP.

“Tiba-tiba hari ini pecah rahsia Tun Dr Mahathir sendiri akui dia pun tak suka kepada DAP, selain tak suka kepada Anwar.

“Tidakkah bacul namanya mengakui tak suka kepada DAP bila bersama Bersatu, tetapi memuji DAP bila bersama rakyat?,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, dalam satu rakaman suara dimuat naik di laman Facebook, Dr Mahathir dalam mesyuarat tertinggi khas Bersatu pada 23 Febuari lalu mencadangkan parti itu untuk keluar dari PH.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, pihaknya perlu menunggu sedikit masa untuk mendapat sokongan dari UMNO.

“… kerana pada saya, the support from UMNO is so fickle (berubah-ubah), kalau bagi masa sikit sahaja nanti dia (UMNO) suka dekat saya.

“Jadi, tak ada kelainan. Cuma saya pun tak suka kepada DAP, tak suka kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang lain pun semua macam itu, tapi semua itu soal masa sahaja.

“Nanti kita tentukan masa atau kita ambil tindakan hari ini. Kalau kata hari ini, okay hari ini kita keluar daripada PH,” katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang media semalam, bekas Perdana Menteri itu menafikan partinya telah membuat keputusan untuk keluar dari PH.

“Kepimpinan tertinggi Bersatu tidak pernah membuat keputusan untuk keluar daripada PH,” katanya selepas pembukaan sidang Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close