Berita UtamaDunia

China cuba hapus amalan puasa umat Islam

Dipaksa makan babi, minum air sebelum masuk bersolat di masjid

TAIPEI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Umat Islam di China kini bukan sahaja berdepan dengan ancaman COVID-19, malah diharamkan berpuasa pada bulan Ramadan oleh kerajaan komunis negara itu.

Sebuah majalah atas talian yang memfokuskan kebebasan beragama di China, Bitter Winter mendedahkan, beberapa pemimpin tempatan di negara Tanah Besar itu mengarahkan pihak polis meningkatkan pemantauan ke atas umat Islam sejak awal Ramadan – terutamanya ketika solat Jumaat dan sambutan Aidilfitri minggu ini.

Di Zheijiang, penguat kuasa undang-undang diwajibkan untuk melaporkan lokasi semasa umat Islam setempat, selain memeriksa kad pengenalan serta bagasi pelancong umat Islam Uyghur dari Xinjiang.

Lebih teruk lagi, seorang umat Islam yang tinggal di Qinghai mendakwa, rejim China di kawasan itu telah memaksa mereka berbuka puasa dengan mengalirkan air di sepanjang jalan ke masjid dan mewajibkan umat Islam meminumnya, sebelum dibenarkan masuk untuk solat.

Selain itu, para pelajar Uyghur juga diharamkan untuk mengamalkan ajaran Islam pada bulan Ramadan.

Seorang guru menengah di Shandong mengesahkan bahawa sekolah itu memaksa semua pelajar Uyghur memakan daging khinzir bersama-sama rakan sekelas yang lain.

Malah, seorang lagi umat Islam di Kazakhstan memberitahu pemberita, rejim China di Lli akan memaksa mereka yang berpuasa untuk makan gula-gula atau kuih bulan.

Katanya, sekiranya tawaran berkenaan ditolak, mereka akan dihantar ke kem tahanan.

Tahun lalu, rejim China di Xinjiang memperlekeh dan mengejek etnik Uyghur apabila memasang kuplet musim bunga menampilkan foto khinzir di hadapan pintu rumah mereka – berikutan tahun 2019 adalah tahun khinzir bagi perayaaan Tahun Baru Cina.

Etnik Uyghur yang didapati menurunkan kuplet berkenaan akan diancam dan ditahan di kem tahanan di wilayah itu.

Menurut Kongres Uyghur Dunia, rejim China menyifatkan Islam adalah penyakit ideologi yang mesti dibanteras. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button