Berita Utama

COVID-19 di Malaysia pada landasan betul

Dalam usaha melihat angka kes positif baharu kurang 10 tak lama lagi

PUTRAJAYA, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha melihat angka kes positif baharu COVID-19 berada pada jumlah kurang dari 10, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya masih terus memburu sasaran itu, dan melihat kepada tempoh dua minggu sejak awal bulan ini, kes-kes baharu COVID-19 memang tidak menampakkan kenaikan ketara, namun ia juga tidak berkurangan sepantas yang diharapkan.

“… tapi kita masih bertahan, selagi kita boleh kekalkan angka sekitar 20 kes.., jadi dari segi kepentingan kesihatan awam, satu pasukan boleh mengambil tindakan terhadap kes-kes yang telah dikenal pasti. Lebih penting lagi, tindakan boleh diambil bagi menghalang jangkitan daripada merebak,” katanya dalam sidang media harian berhubung COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap pada hari-hari akan datang Malaysia dapat mengekalkan angka dua digit kes baharu positif COVID-19.

Menurutnya ketika ini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membolehkan angka jangkitan baharu kes postif penyakit itu berada pada dua digit, dan yang lebih penting ialah tiada lonjaklan secara tiba-tiba dalam jumlah kes positif baharu yang dikesan.

“Selagi jumlahnya kurang daripada 50, saya puas hati, namun sasaran kita adalah lebih dari angka ini, dan kita boleh mencapainya jika dapat bekerjasama. Orang ramai boleh tampil dan patuh kepada SOP (prosedur operasi standard), ini penting,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Dr. Noor Hisham berkata daripada 35 kes jangkitan tempatan baharu hari ini, 22 melibatkan warga asing.

“Kita masih ada dua kawasan aktif yang sedang diberi perhatian rapi; iaitu kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Chow Kit, dan di sekitar Pudu.

“Jadi kedua-dua kawasan aktif ini kita sedang pantau dengan rapi dan kita buat ujian keatas ramai warga asing di kawasan itu, jadi walaupun ia jangkitan tempatan, namun majoriti melibatkan warga asing,” katanya.

Sementara itu beliau berkata ketika ini terdapat lebih 1,436 tahanan di Pusat Depoh Tahanan di Kuala Lumpur, dan 1,000 daripada mereka telah menjalani saringan COVID-19, dan menurutnya ujian saringan itu masih diteruskan sehingga kini.

Dr. Noor Hisham berkata demikian sebagai respons kepada satu laporan dari Myanmar mengenai satu kes positif COVID-19 melibatkan pekerja asing yang dihantar pulang dari Malaysia yang pernah ditempatkan di Blok A, Pusat Tahanan Depoh di Kuala Lumpur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button