Dunia

COVID-19: Singapura catat 451 kes baharu

Jadikah jumlah keseluruhan jangkitan di negara republik itu 28,794

SINGAPURA, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Singapura secara awal telah mengesahkan tambahan 451 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah jangkitan di republik itu kini 28,794 kes.

Data setakat pukul 12 tengah hari, menunjukkan hanya satu kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu menyatakan pihak kementerian masih meneruskan perincian kes-kes tersebut dan akan memberikan maklumat terkini lewat hari ini.

Singapura setakat ini telah mengklasifikasikan 1,310 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 363 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 26,090 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data lengkapnya yang dikeluarkan pada Isnin, kementerian memaklumkan 9,835 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti rawatan komuniti.

Pada masa ini terdapat 1,036 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan 12 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi.

MOH berkata 17,450 orang yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk COVID-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, sebanyak 22 telah meninggal dunia akibat COVID-19.

Kluster dikaitkan dengan Hostel ABC di 3, Jalan Kubor telah ditutup pada Isnin kerana tidak ada lagi kes yang berkaitan dengannya selama dua tempoh inkubasi atau 28 hari yang lalu.

MOH mengenal pasti empat kluster baharu semalam, manakala kluster terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol mempunyai sejumlah 2,583 kes yang disahkan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close