Berita Utama

Dividen RM42.7 juta untuk 31,436 pekebun kecil Risda

Pembayaran tidak langsung tingkat keupayaan ekonomi pekebun

PUTRAJAYA, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Sebanyak 31,436 pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan menikmati dividen dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM42.7 juta bagi 2019.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad hari ini mengumumkan daripada jumlah itu, RM12.8 juta akan dibayar kepada 16,080 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) manakala RM29.9 juta untuk 15,356 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Beliau berkata pembayaran dividen kali ini meningkat 3.5 peratus berbanding 2018 atas faktor harga buah tanda segar yang lebih baik pada September hingga Disember 2019 iaitu purata RM442 satu tan berbanding RM365 satu tan pada 2018.

“Pembayaran ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan ekonomi pekebun-pekebun kecil semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19, dan ketika perayaan Aidilfitri nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RTBB merupakan rancangan pembangunan tanah untuk tanaman getah sejak 1970-an melibatkan keseluruhan kawasan seluas 19,306 hektar dan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang memiliki tanah kurang daripada 2.83 hektar.

Pekebun kecil diberi saham dalam rancangan tersebut mengikut kelayakan dan menikmati bayaran dividen setiap tahun.

TSK pula adalah program tanam semula melalui penyatuan kebun-kebun kecil yang diuruskan oleh Risda Plantation Sdn Bhd daripada peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil untuk keluasan sekurang-kurangnya 40 hektar atau lebih.

Abd Latiff berkata Risda meneruskan pelbagai program pembangunan ekonomi untuk 550,000 pekebun kecil. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button