Berita Utama

JAKIM bakal kemuka tatacara kursus praperkahwinan ketika PKPB

Pandangan dari aspek keselamatan akan dirujuk dengan MKN, KKM

BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sedang memuktamadkan penyediaan Tatacara Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam Dalam Tempoh Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pasca PKPB serta Mekanisme Pengajaran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkenaan bagi membantu pasangan yang hendak berkahwin dalam tempoh PKPB dan pasca PKPB.

Beliau berkata, tatacara itu sebagai panduan kepada JAIN bagi melaksana Kursus Praperkahwinan Islam bermula daripada kaedah pendaftaran, syarat-syarat penganjuran, etika penceramah, urusetia dan peserta, pengambilan sijil serta lain-lain perkara berkaitan.

“Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan PKPB telah memberi impak kepada pelbagai sektor kehidupan di negara ini termasuklah pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam yang telah berjalan sekian lama di seluruh negara dan merupakan suatu keperluan kepada pasangan yang bakal berkahwin.

“Dalam membuat keputusan mengenai perkara ini, beberapa pertimbangan telah dibuat berdasarkan situasi semasa pandemik COVID-19, iaitu pengurangan interaksi sosial antara peserta dan penceramah, menghadkan pergerakan peserta dan penceramah bagi yang terlibat dalam pelaksanaan kursus secara bersemuka, menghadkan penggunaan data internet bagi yang terlibat dalam pelaksanaan kursus secara dalam talian, penjarakan sosial dan lain-lain aspek keselamatan dan kepentingan kesihatan lain,” katanya.

Paimuzi berkata, JAKIM dan JAIN juga akan merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan pandangan dalam aspek keselamatan penganjurannya kelak.

“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam ini bolehlah dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close