Berita UtamaIstimewa

Percayalah UMNO kalah teruk sebab bersama DAP

Perjuangan UMNO semakin malap selagi dengan PH

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Pelik tapi benar. Jika dahulu UMNO gah dengan kekuatannya menempelak DAP sebagai cauvinis tetapi kini mereka mendambakan sokongan parti rasis itu.

Lebih malang, di ajaknya pula ahli-ahli UMNO mengundi DAP – situasi ini benar-benar menggambarkan UMNO seolah sudah hilang maruah.

Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, ramai pemimpin UMNO di pelbagai peringkat mendesak Presiden mereka meletakkan jawatan.

“Itu mungkin salah satu penyelesaian tetapi saya lebih cenderung untuk UMNO keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH), sama ada bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) atau bergerak bersendirian.

“Selagi UMNO duduk bersama PH maka selagi itu perjuangan UMNO menjadi semakin malap.

“UMNO hanya mampu duduk di bawah ketiak DAP. UMNO tidak boleh lagi bercakap mengenai Melayu dan Islam kerana dibentengi oleh DAP. Habis, apa lagi isu yang mahu dibicarakan UMNO?,” soalnya.

Mengimbas pretasi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Haji Aminuddin berkata, kekalahan dan kemerosotan UMNO yang teruk kali ini bukanlah hanya disebabkan penolakan orang Melayu terhadap parti itu, tetapi yang lebih penting ialah ahlinya sendiri yang tidak memberi sokongan.

“Sebabnya ialah sama ada mereka mengundi PN atau langsung tidak keluar mengundi. Tidak pernah terjadi dalam sejarah UMNO dari 108 kerusi yang ditandingi hanya 19 yang menang atau hanya 18 peratus pencapaian.

“Saya tidak merasakan bahawa ini disebabkan isu kes rasuah presiden parti semata-mata kerana orang UMNO ini biasa saja dah dengan rasuah.

“Tetapi yang mereka tidak boleh ialah kerjasama dengan DAP. Buatlah macam mana, orang Melayu secara umumnya masih tidak boleh terima DAP,” katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan ahli UMNO mencari alternatif lain khususnya PN sekiranya kepimpinan parti masih mahu kekal bersama PH.

“Jangan kerana terlalu terikat dengan parti sehingga kita ketepikan perjuangan.

“Ahli-ahli UMNO perlu memilih sama ada mahu berubah atau mati sebelum ajal,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, semua pemimpin UMNO dari setiap peringkat termasuk Top 5, Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian setiap negeri itu termasuk wanita, Pemuda, Puteri perlu bertanggungjawab atas kekalahan UMNO pada PRN.

“Saya secara peribadi, walaupun baru lima bulan menjawat jawatan Naib Presiden turut bertanggungjawab di atas kekalahan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button