Berita Utama

MTUC sambut baik gesaan majikan tak hentikan pekerja

Hormati seruan dari Agong mahu kebajikan pekerja dijaga

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa majikan menghormati seruan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kebajikan pekerja dijaga dalam mendepani impak COVID-19 terhadap ekonomi.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata MTUC amat menghargai titah Seri Paduka semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 semalam yang memberi penekanan kepada isu itu.

“Gesaan itu menunjukkan keprihatinan Seri Paduka terhadap masalah yang dihadapi golongan pekerja, khususnya daripada kumpulan B40 dan M40.

“Baginda yang mengetuai anggota Parlimen dalam memberi penghormatan kepada barisan hadapan yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVID-19 turut mengetengahkan keperluan menjaga kebajikan pekerja sepanjang krisis ini.

“Justeru, kami menggesa majikan menghargai dan menuruti seruan Yang di-Pertuan Agong agar berusaha mengekalkan pekerja masing-masing sekalipun banyak perusahaan dan perniagaan terjejas akibat COVID-19,” katanya hari ini.

Katanya seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong, MTUC menggesa majikan agar tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pekerja dan negara, khususnya majikan yang menerima bantuan kewangan daripada kerajaan menerusi pelbagai pakej rangsangan.

MTUC juga menggesa kerajaan menuruti langkah pihak berkuasa Hong Kong yang mengenakan denda terhadap majikan yang memberhentikan pekerja sekalipun diberi subsidi gaji.

“Kami menyifatkan usahawan yang menerima dana awam bagi membantu perniagaan mereka tetapi tidak mempedulikan nasihat Yang di-Pertuan Agong sebagai mengkhianati kepercayaan rakyat dan menderhaka terhadap Seri Paduka,” katanya.

MTUC juga mengulangi gesaan agar kerajaan memperkenalkan peraturan pekerjaan darurat (EER) yang melarang majikan memberhentikan pekerja untuk satu tempoh tertentu susulan pandemik COVID-19.

“Kerajaan perlu mengutamakan kebajikan pekerja kerana komitmen mereka adalah penting dalam membantu memulihkan ekonomi.

“Pekerja tidak harus menjadi mangsa majikan yang tidak bertanggungjawab, mengambil jalan mudah dengan memotong gaji dan memberhentikan pekerja untuk mengekalkan margin keuntungan mereka,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close