Berita Utama

Parlimen ‘sampah’: PEMBELA buat laporan polis

Jangan jadi pembangkang melampauI batas, derhaka kepada tuanku

BANGI, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang ke atas bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan dalam satu video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen, semalam.

Naib Pengerusinya, Masridzi Sat berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak menghormati Parlimen, malah satu penghinaan kepada institusi diraja yang tidak seharusnya dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat itu dilihat seolah-olah menghina dan mencaci dengan perkataan ‘sampah’ dan ‘Parlimen tidak berguna’ tidak wajar keluar dari mulut beliau.

“Apa yang diperkatakan oleh Dr Xavier itu juga seolah-olah menidakkan apa yang diperkatakan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengenai kerajaan yang dibentuk itu adalah sah.

“Sepatutnya semua pihak seharusnya menerima dengan hati yang terbuka kerana ini adalah kerajaan daripada pembentukan yang mengikut Perlembagaan,” katanya menerusi satu hantaran video berdurasi 10 minit 35 saat di Facebook PEMBELA.

Dalam pada itu, Masridzi berkata, tindakan yang dilakukan Xavier itu turut dianggap sebagai menghina kerajaan dan titah Yang di-Pertuan Agong sekali gus mengheret polemik politik yang tiada kesudahan.

Katanya, masalah politik seharusnya diselesaikan secara politik bukannya dengan menghina kerajaan dan juga Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan sebagai melampai batas dan undang-undang kerana mengundang kebencian dalam kalangan rakyat.

“Jadi sekiranya kamu nak menjadi pembangkang jadilah pembangkang yang sihat, jangan jadi pembangkang yang melampaui batas dan menderhaka kepada titah Tuanku.

“Tuanku sudah jelaskan supaya jangan panjangkan polemik politik yang tiada kesudahan ini dan terima keputusan Tuanku. Kerajaan yang ada, adalah kerajaan yang sah. Tunggu PRU15 dan lakukan mengikut cara yang sah,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna menerusi satu video berdurasi selama hampir tiga minit.

Katanya, Ahli Parlimen cuma berada sejam saja di Dewan Rakyat untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan COVID-19.

Sidang Parlimen diadakan semalam dengan hanya Titah Diraja saja sebagai urusan mesyuarat manakala sesi perbahasan akan diadakan pada satu tarikh ditentukan kemudian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button