Berita Utama

Riza Aziz mungkin dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB Najib

Riza telah menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1441H, Selasa – Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa Riza telah menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan dalam kes itu.

“Susulan itu, kami mungkin perlu menyemak semula senarai saksi kami,” katanya semasa perbicaraan Najib bersambung semula hari ini.

Riza, 43, yang sebelum ini berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan US$248 juta (RM1.25 bilion) dikaitkan dengan 1MDB, telah dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mac.

Pendakwaan telah membuat permohonan itu selepas mencapai satu persetujuan dengan tertuduh yang menyaksikan kerajaan persekutuan akan mendapat semula wang berjumlah jutaan ringgit.

Pembebasan itu adalah bersyarat dan pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan terhadap Riza jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan tersebut.

Di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk melucuthakkan wang tunai berjumlah hampir RM600,000 milik Riza yang dirampas polis dua tahun lepas.

Mohamed Zaini membuat keputusan itu semasa pengurusan kes permohonan pelucuthakan yang dikemukakan kerajaan berhubung rampasan beratus-ratus barangan dan wang tunai daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka serta 13 lagi yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Beliau membuat perintah itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengenai penyelesaian yang dicapai antara pendakwaan dengan Riza bagi membolehkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Ini adalah berkaitan persetujuan Riza untuk melucuthakkan wang yang dirampas oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Malaysia.

Wang yang dirujuk ialah RM537,000; Pound Sterling 2,700 dan Rupee Sri Lanka 2,870,000 yang dirampas dari kediaman yang dihuni Riza, Najib serta Rosmah pada 17 Mei 2018. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button