Berita Utama

Jangan sekadar berdakwah, kerajaan ada kuasa tutup pusat judi, maksiat

Usaha dakwah dicadang Idris peranan NGO bukan pemerintah

BANGI, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Tiada makna kuasa yang dimiliki kerajaan jika sekadar memainkan peranan berdakwah tanpa menutup atau mengenakan tindakan tegas kepada pusat-pusat perjudian.

Atas sebab itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bimbang dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengenai pendekatan baharu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap penjudi beragama Islam.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, meskipun saranan dikemukakan Idris itu disifatkan baik, usaha-usaha dakwah sebegini adalah peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya kerajaan yang mempunyai kuasa.

“Atas dasar itu, PEMBELA sering menekankan keperluan kerjasama yang erat antara pihak kerajaan dan NGO.

“Selaku pihak yang mempunyai kuasa, kerajaan seharusnya bertindak lebih tegas lagi iaitu dengan menutup terus pusat-pusat perjudian dan pusat-pusat maksiat yang terang-terang merugikan seluruh masyarakat.

“Kita bimbang, jika kerajaan hanya sekadar memainkan peranan berdakwah tanpa menutup atau mengenakan tindakan yang tegas kepada pusat-pusat perjudian ini, maka kuasa yang ada pada pihak kerajaan tidak akan bermakna apa-apa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan pemerintah bahawa kedudukan dan jawatan yang dipegang serta tampuk yang ada adalah amanah Allah SWT.

“Jangan disebabkan kita terlalu ingin menyantuni pihak-pihak tertentu kita tidak melaksanakan amanah yang besar ini,” katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata bahawa Jawi akan melakukan pendekatan berbeza berbanding sebelum ini dalam usaha menyelamatkan golongan kaki judi yang beragama Islam daripada terus terjerumus ke lembah dosa.

Sebagai permulaan, Idris sudah mengarahkan supaya Jawi meletakkan beberapa pegawai dan penguat kuasa melakukan pemantauan serta memberikan nasihat terus kepada umat Islam yang memasuki premis judi di seluruh Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pemantauan itu akan dilakukan dalam tempoh sebulan bagi melihat keberkesanannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button