Berita Utama

34 individu ditahan sertai parti liar

Bukan penghuni premis, gagal beri alasan munasabah berkumpul

JOHOR BAHRU, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Keseronokan 34 individu berhibur dalam parti liar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berpanjangan apabila ditahan dalam dua serbuan polis di sekitar Senai dekat Kulai awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, ACP Afzanizam Yahaya berkata, dalam kedua-dua serbuan pada kira-kira 12.40 tengah malam ke atas dua kediaman yang dipercayai inap desa, polis berjaya menahan 21 lelaki dan enam wanita warga tempatan serta tujuh wanita warga Vietnam.

Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 38 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka bukan penghuni premis itu serta gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan yang dijalankan, pihak polis turut merampas dadah dipercayai jenis serbuk ekstasi seberat 247.29 gram, ketamin 8.07 gram serta dua biji pil ekstasi.

Afzanizam berkata 28 daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan amfetamin manakala tiga lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Mei.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 serta Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button