Berita Utama

570 kes baharu di Singapura, sudah melepasi 29,000

92 peratus dari jumlah kes libatkan pekerja asing

SINGAPURA, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Singapura, yang mencatatkan 10,365 pesakit pulih COVID-19, mengesahkan data awal terdapat 570 lagi kes positif hari ini menjadikan jumlahnya di republik ini 29,364 kes.

Data tengah hari itu menunjukkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Menurut satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini menyatakan pihaknya masih mengkaji butiran kes dan perkembangan lanjut akan dikongsi kemudian.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasi 1,311 sebagai kes komuniti, 580 kes import dan 362 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Sementara itu, kira-kira 92 peratus daripada jumlah kes atau 26,541 kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Pada Selasa, menurut kementerian itu 530 lagi kes jangkitan COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti manakala 1,004 kes masih di hospital dengan 10 kes menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Menurut MOH, 17,403 orang yang mempunyai simptom ringan atau secara klinikal baik tetapi ujiannya masih positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 22 orang mati akibat COVID-19 di sini.

Dua kluster iaitu NCS Hub di Ang Mo Kio Street, dan CitiWall di Kaki Bukit Crescent ditutup semalam berikutan tiada lagi kes dikaitkan dengan kedua-dua tempat itu sejak dua tempoh inkubasi yang lepas.

MOH juga mengenal pasti dua kluster baharu pada Selasa manakala kluster yang terbesar di republik itu, S11 Dormitory @ Punggol, mempunyai 2,585 kes yang disahkan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close