Berita UtamaDunia

8 umat Islam dibunuh ketika buka puasa di masjid

Kementerian dakwa Taliban lakukan serangan bersenjata

KABUL, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Individu bersenjata yang tidak dikenali dilaporkan melancarkan serangan ke sebuah masjid di wilayah timur Parwan di Afghanistan, hingga menyebabkan sekurang-kurangnya lapan jemaah terbunuh manakala mencederakan beberapa yang lain.

Pegawai Afghanistan berkata, kejadian itu berlaku pada petang semalam di ibu kota wilayah Parwan, Charekar ketika jemaah sedang berbuka puasa di bulan suci Ramadan.

Serangan menyebabkan lapan orang mati dan 12 yang lain cedera, dengan laporan mengatakan bahawa lelaki bersenjata itu telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Setakat ini, tidak ada kumpulan atau individu yang mengaku bertanggungjawab, tetapi Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menyalahkan kumpulan militan Taliban.

Sebelumnya pada hari yang sama, Taliban melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Afghanistan di bandar Kunduz, membunuh lapan orang dan mencederakan beberapa yang lain.

Kejadian itu berlaku seminggu selepas Presiden Ashraf Ghani memerintahkan tentera negara itu untuk meneruskan operasi terhadap militan berikutan serangan terhadap pasukan keselamatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran berlaku peningkatan kekerasan terhadap orang awam dan ‘kemerosotan’ penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Afghanistan.

Data rasmi menunjukkan pengeboman Taliban dan serangan lain telah meningkat sebanyak 70 peratus sejak kumpulan militan menandatangani perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS) pada bulan Februari.

Terdahulu, tiga lelaki bersenjata menyerang sebuah hospital bersalin di Kabul, melepaskan tembakan ke arah wanita hamil dan bayi yang baru lahir di sana.  

Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 16 yang lain cedera sebelum lelaki bersenjata itu dibawa keluar oleh pasukan keselamatan Afghanistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close