Berita Utama

BERJASA gesa Muafakat Nasional letak calon muslim wibawa di Chini

Rakyat mahukan calon berwibawa, bersih dan integriti jadi pemimpin

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA) menggesa Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Melayu Islam berwibawa untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 Julai depan.

Setiausaha Agung BERJASA, Abdul Aziz Sardan berkata, pemilihan calon sangat penting kerana ia menentukan agenda yang akan diperjuangkan dan calon berwibawa pastinya membawa kebaikan kepada rakyat.

“Selaras dengan kenyataan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini, BERJASA menggesa Muafakat Nasional meletakkan calon muslim sesuai dengan hasrat Perikatan Nasional dan rakyat yang mahukan calon berwibawa, bersih dan integriti,” katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan akan meletakkan calon bagi mempertahan kerusi DUN Chini. Dalam PRK ini, UMNO dan PAS akan meneruskan kerjasama melalui gagasan Muafakat Nasional yang dimeterai kedua-dua parti.

Annuar sebelum ini berkata, kerjasama Muafakat Nasional menjadi pilihan kerana UMNO telah menandatangani piagam bersama PAS bagi menggerakkan kerjasama politik

“Maka bagi menghadapi PRK DUN Chini, sudah tentu gagasan dan semangat Muafakat Nasional sepertimana yang kita lakukan dalam PRK sebelum ini akan diteruskan.

“Pertemuan antara dua parti itu juga sentiasa dilakukan dari masa ke masa malah pada hari ini juga diadakan pertemuan tidak formal antara pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan PAS,”

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, 7 Mei lalu. Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).

Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon BN mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.

Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button