Berita UtamaIstimewa

Biadab terhadap Agong, Xavier tak belajar Rukun Negara?

Tak layak jadi wakil rakyat, jangan undi 'dia' PRU akan datang

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Rakyat diminta tidak mengundi Datuk Dr Xavier Jayakumar – yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan dan provokasi terhadap sidang Parlimen – sebagai wakil rakyat dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

Pengerusi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, bukan sahaja Ahli Parlimen Kuala Langat itu, bahkan sesiapa sahaja daripada parti yang sama dengan Xavier iaitu PKR.

Tegasnya, sikap biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi seorang warganegara adalah suatu yang tidak boleh dibiarkan.

“Justeru, tindakan tegas mesti diambil supaya menjadi pengajaran untuk dirinya dan juga orang lain.

“Apakah dia (Xavier) tidak belajar dan tidak tahu mengenai Rukun Negara. Xavier kena masuk sekolah semula (bukan UEC), supaya hatinya menjadi ‘putih’ terhadap tanggungjawab sebagai warganegara.

“Mengatakan titah Agong dalam sidang Parlimen sebagai sampah dan tidak berguna jelas bahawa dia tiada kesetiaan kepada raja.

“Bacaan sumpahnya ketika dilantik sebagai Ahli Parlimen yang sah dihadapan Baginda adalah bukti hatinya masih hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’.

Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau berkata Sidang Dewan Rakyat ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua Ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.

Tindakan biadab Ahli Parlimen Kuala Langat itu menerima kecaman dari ramai pihak susulan berpandangan ia seolah-olah menghina institusi diraja.

Pihak polis kini giat melakukan siasatan berhubung kes berkenaan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close