Berita Utama

Haramkan promosi gaya hidup songsang LGBT, pedofilia

Artikel Bakhtiar Talhah seperti terima LGBT, perkahwinan sejenis, bukan lagi sentuh isu diskriminasi

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Kerajaan digesa memperketatkan undang-undang berhubung larangan promosi umum gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Pengerusi MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, bagi membendung nilai yang bercanggah dengan agama dan budaya, langkah awal perlu diambil adalah mengharamkan sebarang promosi gaya hidup LGBT bersama-sama dengan orientasi songsang lain seperti pedofilia dalam konteks undang-undang.

Jelasnya ia boleh dilakukan sama ada melalui Kanun Keseksaan, Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 atau lain-lain akta berkaitan.

“Bagi masyarakat Islam, pindaan ke atas Enakmen Syariah Negeri-Negeri sedia ada berhubung kesalahan homoseksualiti dan tasyabbuh (lelaki yang berlagak seperti perempuan) perlu turut memasukkan larangan promosi gaya hidup ini.

“Kami di MACSA juga dengan tegas menyeru kepada generasi muda muslim, Kristian dan penganut-penganut agama lain agar tidak terjebak ke arah gaya pengamalan LGBT dan memilih sebaliknya, cara hidup bermoral yang dianjurkan oleh agama.

“Rakyat Malaysia juga seharusnya memahami prinsip pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ironinya, hak-hak beragama adalah juga suatu hak yang terpelihara dalam semua deklarasi-deklarasi yang telah disebut sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas artikel bertajuk ‘Masa untuk Malaysia mengiktiraf komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)’ yang disiarkan Malay Mail Online pada 17 Mei lalu.

Dr Rafidah menzahirkan rasa kesal apabila artikel ditulis Bakhtiar Talhah itu sarat mempromosi penerimaan gaya hidup LGBT serta perkahwinan sejenis yang mana bukan lagi menyentuh mengenai topik diskriminasi.

Lantaran itu, beliau yang juga Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) meminta Ahli Eksekutif Majlis AIDS Malaysia itu mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk kembali ke jalan yang benar.

“Kitab suci al-Quran telah pun dengan jelas menggambarkan perihal jiwa hamba yang melakukan kesalahan, pada ketika mereka diberikan peringatan mengenai kesalahan mereka, sering berubah menjadi bangga untuk menenangkan rasa bersalah mereka.

“Menjadi homoseksual bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan secara terbuka dan keinginan seperti itu haruslah dibendung demi menuju ke jalan Ilahi.

“Sebaliknya, seharusnya kita mendidik diri untuk merendah diri kerana kita semua adalah milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close