Berita Utama

ISMA Gombak mohon polis bertegas terhadap Xavier

Rakyat junjung tinggi Perlembagaan diajak buat laporan

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak menggesa polis mengambil tindakan terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan beliau melalui satu video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen pada Isnin.

Yang Dipertua ISMA Gombak, Haji Abdul Samad Ashaari menyifatkan, tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu sangat biadab.

“Kami kesal dengan kenyataan Xavier yang telah menyifatkan sesi Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai sampah dan tidak berguna.

“Kenyataan biadab ini dianggap sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong yang telah bertitah pada sidang kali ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, ISMA Gombak membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengenai hal berkenaan dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tuntas dan tegas terhadap bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Pakatan Harapan (PH) itu.

“Kami juga menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia yang cintakan negara, menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Raja-Raja untuk membuat laporan polis terhadap Xavier atas sebab yang sama,” kata Haji Samad.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’.

Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau berkata, Sidang Dewan Rakyat tersebut ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua Ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close