Berita Utama

Jangan pecut walaupun jalan raya lengang ketika Aidilfitri

Kemalangan menurun 70 peratus bukan angka memuaskan: Pakar

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Meskipun jalan raya pada hujung minggu ini dijangka lengang ekoran orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terutamanya, perlu berhati-hati dengan mengurangkan kelajuan kenderaan kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Kulanthayan K.C. Mani berkata, ia terbukti apabila Malaysia masih mencatatkan jumlah kemalangan jalan raya yang mengecewakan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Katanya, kemalangan tetap berlaku walaupun jalan raya di seluruh negara hampir sepi dan lalu lintas agak lengang sejak pelaksanaan PKP yang bermula 18 Mac lepas.

“Walaupun jumlah kemalangan jalan raya menurun 70 peratus, ia bukan angka yang memuaskan,” katanya semasa menjadi tetamu program bual bicara Bernama TV – The Nation Update, di saluran 502.

Ditubuhkan pada 2011 sebagai anggota Safe Kids Worldwide (SKW) dan bekerjasama dengan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, program Safe Kids Malaysia bertujuan menambah baik kehidupan kanak-kanak melalui pencegahan kecederaan.

Mengulas lanjut Kulanthayan berkata: “Kami menjangkakan pengurangan sehingga 90 peratus, tetapi ia tidak berlaku kerana apabila tidak banyak kenderaan dan lebih banyak ruang di jalan raya, mereka (pemandu dan penunggang) cenderung untuk menambah kelajuan,” katanya.

Kulanthayan, yang merupakan penasihat keselamatan jalan raya, berkata adalah salah anggapan umum bahawa jalan yang lebih lengang membawa maksud perjalanan akan menjadi lebih selamat.

Katanya, lebih berbahaya buat mereka yang mendapat kelulusan untuk membuat perjalanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan mempunyai persepsi yang salah apabila mengetepikan sikap berhati-hati kerana menyangka keadaan jalan yang tenang adalah selamat.

Beliau berkata, walaupun Malaysia menduduki tempat ketiga di Asia Tenggara selepas Thailand dan Vietnam dari segi jumlah kemalangan jalan raya, namun kedudukannya tidak memuaskan kerana kedua-dua negara itu mempunyai jumlah penduduk yang jauh lebih tinggi iaitu masing-masing 70 juta dan 97 juta berbanding penduduk di Malaysia yang hanya 32 juta.

Antara faktor yang mencatatkan rekod buruk ialah jumlah kenderaan yang tinggi di Malaysia iaitu 30 juta berbanding populasi penduduknya seramai 32 juta orang, ditambah dengan jumlah pemilikan kenderaan persendirian yang besar berbanding mereka yang menggunakan pengangkutan awam.

Namun yang lebih membimbangkan adalah penunggang motosikal apabila golongan itu merangkumi separuh daripada 30 juta kenderaan, yang mencatat jumlah kemalangan dan kematian yang paling tinggi di jalan raya, katanya.

Kulanthayan berkata 90 peratus penunggang motosikal masih muda, berusia antara 16 dan 20 tahun, yang mengambil lebih banyak risiko dan menambahkan jumlah kemalangan jalan raya.

Pemandu kenderaan di Malaysia juga mempunyai persepsi yang salah apabila mengabaikan mesej keselamatan jalan raya dan menganggap kemalangan hanya berlaku kepada individu lain kerana mereka sendiri telah memandu selama bertahun-tahun tetapi tidak pernah ditimpa kemalangan.

“Pemikiran mereka adalah – itu tidak akan berlaku kepada saya kerana saya telah memandu lebih daripada 90 kilometer (km) atau 110km sejam dan tidak ada kemalangan berlaku,” katanya.

“Persepsi seperti itu telah mempengaruhi mereka, menyebabkan pengguna kenderaan mengabaikan nasihat keselamatan jalan raya (dan) ini harus diubah kerana kemalangan boleh berlaku bila-bila masa sahaja,” kata Kulanthayan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close