Berita Utama

Kelantan catat kes baharu, wanita rentas negeri positif COVID-19

Babitkan wanita mengandung 32 minggu, kini dirawat di HRPZ II

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Seorang wanita mengandung di Kuala Krai disahkan positif COVID-19 sekali gus menyebabkan Kelantan kembali mencatat jangkitan wabak itu.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Beliau berkata, usia kandungan mangsa 32 minggu dan wanita itu kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Setakat maklumat yang kita tahu, ahli keluarganya negatif, dia seorang saja positif. Namun ahli keluarga lain dikuarantin.

“Apa yang kita takutkan selama ini berhubung rentas negeri. Mangsa (pesakit) balik ke kampung apabila dibenarkan untuk rentas negeri baru-baru ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Kerajaan sebelum ini memberi peluang kepada mereka yang terkandas di kampung atau bandar untuk merentas negeri dalam tempoh empat hari pada 7 hingga 10 Mei lalu.

Selepas daripada tarikh itu, tiada lagi kebenaran rentas negeri melalui aplikasi Gerak Malaysia, sebaliknya perlu mendapatkan kebenaran pihak polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button