Berita Utama

Parlimen ‘sampah’: Polis buka kertas siasatan terhadap Xavier

Siasat kenyataan bekas menteri sebelum ambil tindakan lanjut

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Datuk Dr Xavier Jayakumar mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan dan provokasi terhadap sidang Parlimen yang berlangsung kelmarin.

Berita Harian yang memetik Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid sebagai berkata, pihaknya sedang giat menyiasat kes membabitkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Siasatan sedang dijalankan (membabitkan kenyataan Dr Xavier),” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’.

Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata Sidang Dewan Rakyat tersebut ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua Ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button