Berita Utama

Perak benarkan orang ramai makan di restoran

MB umum bantuan khas kepada penjawat awam negeri

IPOH, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Kerajaan Perak membenarkan pelanggan makan di premis makanan berkuat kuasa serta-merta dan mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun perkara itu juga terserah kepada pengusaha sama ada mahu membenarkan pelanggan mereka berbuat demikian atau tidak.

“Sekiranya mereka bersedia untuk mematuhi SOP ketat yang ketat, bolehlah dibenarkan. Jika belum bersedia, eloklah tangguhkan dahulu,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak (Fasa Dua) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan semua taman rekreasi awam kini dibuka serta-merta kepada orang ramai menjalankan aktiviti riadah, namun wajib mematuhi SOP ketat.

Ahmad Faizal juga mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 kepada 13,000 penjawat awam negeri berjumlah RM1,000 setiap seorang yang dibayar hari ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

“Saya menyeru agar bantuan ini dibelanjakan sebaiknya untuk persiapan Aidilfitri secara sederhana agar nanti sampai ke kantung peniaga dan penjaja kecil seluruh negeri Perak hendaknya,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan jabatan-jabatan kerajaan negeri agar mengelak berbelanja terhadap perkara yang tidak perlu seperti menukar permaidani baharu, sebaliknya merangsang ekonomi negeri dengan menyokong perniagaan restoran dan hotel tempatan melalui penganjuran mesyuarat serta tempahan makanan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button