Berita Utama

PN kena buktikan tadbir urus baik, kembalikan keyakinan rakyat

Rakyat mahu pelaksanaan polisi yang untungkan mereka

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Ramadan 1441H, Rabu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan lebih diyakini dan dipercayai rakyat sekiranya berjaya melaksanakan pelan strategik untuk mengurus dan memutuskan rantaian COVID-19, kata penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

Beliau yakin lebih banyak sokongan luar akan mempengaruhi kestabilan kerajaan PN, termasuk sokongan daripada beberapa pemimpin parti pembangkang yang memperlihatkan sokongan padu kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berfokus membantu rakyat dan industri yang terjejas susulan wabak itu.

Bahkan, Dr Syed Agil percaya strategi PN untuk mengurus dan menyelesaikan konflik pandemik ini dengan bijaksana dan kurang menjejaskan rakyat mengundang keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap keupayaan kerajaan PN memimpin negara.

“Ia akan memberikan kesan positif terhadap imej dan reputasi kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk menghalatujukan kerajaan kepimpinannya di ambang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dr Syed Agil berpandangan bahawa kelebihan kepimpinan PN ialah keupayaan tadbir urus kementerian yang kebanyakannya diterajui oleh golongan ahli politik yang berpengalaman, berpengetahuan tinggi mengenai bidang-bidang kepakaran mereka.

“Begitu juga dengan kemasukan beberapa tokoh-tokoh profesional dalam bidang tadbir urus korporat, perbankan, ekonomi dan keagamaan dalam Kabinet baharu ini.

“Di antara cabaran yang dihadapi oleh Kabinet Muhyiddin ialah bagaimana beliau dapat menguruskan isu politik yang dimainkan oleh UMNO, Bersatu, PAS dan beberapa parti di bawah naungan gagasan kerajaan PN itu

“Apa yang penting diperlihatkan di mata rakyat ialah kejujuran, kebersamaan, solidariti dan kerjasama di antara semua komponen parti dalam PN untuk mentadbir negara dengan saksama, melahirkan keharmonian ekonomi, politik dan sosial dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Selain itu, Dr Syed Agil berkata, harapan rakyat terhadap kewibawaan PN untuk menjaga dan memelihara kepentingan nasional adalah dengan menangani kes penyelewengan dana 1MDB, penyalahgunaan rasuah dalam kalangan ahli politik termasuk pemimpin dalam komponen parti PN dengan adil dan saksama.

Katanya, sekiranya kerajaan PN mengambil kira faktor-faktor itu, ia akan dapat mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan tadbir urus kerajaan PN tatkala menghadapi PRU akan datang.

“Dalam erti kata lain, musim pandemik ini adalah suatu tempoh dan jangka masa yang membantu dan menyebelahi strategi politik PN.

“Ia juga memberikan masa kepada PN untuk merancang rangkaian strategi politik berkesan kepada rakyat yang sentiasa menjadi ‘mata dan telinga’ terhadap pelaksanaan polisi yang boleh menguntungkan mereka dan ekonomi negara pada masa akan datang.

“Tambahan pula peringatan Yang di-Pertuan Agong ketika bertitah membuka sesi Parlimen kelmarin menunjukkan Baginda mengambil berat terhadap keadaan konflik politik semasa.

“…dan mengajak semua pihak bersatu hati membanteras wabak ini daripada membelenggu nasib kehidupan rakyat dan memelihara kedudukan ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button